SKUAD ping pong wanita terus ketandusan idea untuk menamatkan kemarau 30 tahun pingat emas, selepas tewas kepada Thailand, 3-0, pada aksi final yang berlangsung di Dewan Ping Pong di Kompleks Stadium Morodok Techo, Phnom Penh.
Ketika sudah begitu hampir melakukannya, Singapura juga ditundukkan di peringkat kumpulan, ternyata nasib tidak bersama pemain negara.
Di sebalik kekecewaan yang membawa kepada tangisan, skuad wanita negara seharusnya mampu mengangkat muka, kerana pencapaian mereka ke final satu kemajuan apabila mara ke aksi final selepas tiga dekad.
Kehebatan yang ditampil skuad Thailand membuatkan pasukan yang dibarisi Karen Lyne Anak Dick, Alice Chang, Tee Ai Xin dan Im Li Ying gagal memberi cabaran sengit.
Kekalahan Karen Lyne dan disusuli Alice Chang, Ketika berdepan Suthasini Sawettabut dan Orawan Paranang, ternyata diibaratkan meletak beban besar di bahu Tee Ai Xin.
“Saya rasa boleh melakukan yang lebih baik tapi saya tidak dapat mengawal tekanan yang ada, jadi saya rasa bersalah kepada pasukan,” kata Ai Xin sambal tidak mampu mengawal tangisan.
Faktor tekanan itu membuatkan Ai Xin gagal mempamerkan permainan terbaiknya dan tewas kepada Jinnipa Sawettabut 2-11, 8-11, 7-11.
Sukar menerima kekalahan selepas menghampiri kilauan emas setelah sekian lama, seorang demi seorang pemain menitiskan air mata.
Alice sendiri mengakui, pasukannya sudah mencapai sasaran ditetapkan namun terkilan kerana hanya selangkah sahaja lagi untuk menempa kejayaan.
“Memang sudah capai sasaran ke final, tapi kami mahukan pingat emas… saya agak menyesali kerana saya hampir melakukannya,” kata Alice, sambal melaungkan keazaman untuk kembali bangkit pada temasya akan datang.
Skuad negara menampilkan kelainan kali ini, mengejutkan Singapura 3-0 pada aksi peringkat kumpulan B dan mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan, dan menyingkir Vietnam 3-1 sebelum ke final.
Mereka menjalani latihan dengan mengadakan perlawanan bersama pasukan Korea Selatan, Taiwan dan Jepun, sebagai persiapan ke sukan Sea Kemboja.
Kali terakhir pasukan wanita mara ke final adalah ketika temasya dwitahunan itu berlangsung di Singapura, pada tahun 1993.
Ketika itu, pasukan wanita diketuai Phua Bee Sim yang muncul naib juara selepas tewas kepada Indonesia.