JURULATIH kecergasan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Alvarez yang menggantikan Benjamin Mora sebagai pengurus memuji usaha yang ditunjukkan para pemain Harimau Selatan ketika menewaskan Melaka United dalam aksi suku akhir Piala FA.
Harimau Selatan sekali lagi berjaya meraih kemenangan hasil jaringan pada minit akhir permainan oleh Bergson Da Silva yang turut mendapat pujian Alvarez yang menyifatkannya berkelas dunia.
Alvarez juga gembira kerana para pemain dapat menterjemahkan apa yang telah dirancang dan akan melihat semula video sama ada ianya keputusan penalti yang tepat diberikan kepada Melaka United.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain atas usaha yang mereka tunjukkan sepanjang perlawanan ini. Mereka menunjukkan ‘winning mentality’ hingga saat terakhir permainan.
“Ianya adalah perlawanan yang sukar tetapi kami berjaya melakukan apa yang dirancang. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi akhirnya berjaya mencatat kemenangan pada minit terakhir.
“Bergson adalah pemain yang bertaraf dunia. Selepas pulih dari kecederaan dia menunjukkan aksi yang mantap dan akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan,” jelas Alvarez dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Melaka United, Asri Ninggal pula memberikan kredit kepada para pemainnya kerana berjaya menahan asakan JDT meskipun terpaksa akur dengan kekalahan pada minit terakhir.
Asri juga menegaskan bahawa JDT bukanlah lawan yang mudah dan akan menghukum lawan menerusi ‘set pieces’ dengan Bergson dilabel sebagai pemain yang merubah perlawanan dikala JDT tidak mampu untuk mencari tambahan gol.
“Saya perlu memberikan kredit kepada pemain saya. Walaupun kami ketinggalan seawal minit keempat namun kami berjaya menahan JDT dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-85. Bukan mudah apabila bertemu JDT dan kita tidak bernasib baik dengan gol pada minit terakhir.
“Apabila bertemu JDT, kita tidak boleh memberi mereka kelebihan ‘set pieces’. Mereka akan menghukum kita. Kemasukan Bergson merubah permainan kerana tanpa Bergson JDT tidak mampu melakukan apa-apa. Kita harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal fokus sehingga minit terakhir,” kata Asri.
Kemenangan ini membawa JDT ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada awal Ogos nanti.