PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri  Megat D Shahriman Zaharudin menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan pelapis dalam kalangan atlet paralimpik negara, menjelang Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Menurut beliau, masalah ini timbul kerana tumpuan terhadap atlet yang sama sejak Sukan Paralimpik Rio 2016 hingga Paris 2024.

“Menjelang 2028, kita mungkin akan menghadapi kekurangan atlet yang besar kerana kita masih bergantung kepada atlet yang sama sejak 2016.

Talent pool kita sangat kecil dan hanya tertumpu kepada beberapa sukan yang sangat kompetitif di peringkat dunia,” katanya selepas program Sukan Komuniti Orang Kurang Upaya (SuKOM OKU) pada Sabtu.

 

Megat Shariman menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan pelapis dalam kalangan atlet paralimpik negara, menjelang Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau menekankan keperluan untuk MPM merangka strategi yang lebih bijak dalam memilih sukan yang mampu memberikan kelebihan teknikal kepada negara, sekaligus meningkatkan peluang untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

“MPM perlu mengkaji sukan yang boleh kita fokus untuk cemerlang. Badminton, contohnya, kita ada Cheah Liek Hou yang cemerlang, tetapi selepas beliau, siapa lagi? Kita perlu ada sekurang-kurangnya lima hingga enam orang pelapis.

“Negara tidak boleh terus bergantung kepada atlet-atlet senior seperti Datuk Latif Romly, Ziyad Zolkefli dan Bonnie Bunyau Gustin sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, ketiadaan program pembangunan akar umbi yang kukuh turut menjadi punca kekurangan bakat baharu. Dana yang mencukupi adalah penting untuk memastikan pencarian dan pembangunan pelapis diteruskan dengan lebih baik.

Bonnie antara atlet para yang memenangi pingat emas di Paris.

“Kita perlukan dana untuk pembangunan akar umbi. Tanpa dana, sukar untuk mencungkil bakat-bakat baharu. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada seorang juara seperti Bonnie, kita perlukan lebih ramai pelapis, mungkin 20 orang lagi seperti beliau,” tambah Megat.

Beliau juga menggesa pihak kerajaan untuk menyalurkan dana yang mencukupi bagi pembangunan atlet paralimpik di peringkat akar umbi, bagi memastikan masa depan sukan paralimpik negara terjamin.

“Saya sering menekankan kepentingan mentadbir urus dengan baik, dan dana daripada kerajaan perlu disalurkan kepada program akar umbi. Ibu bapa juga meletakkan harapan tinggi kepada kita untuk memberikan peluang kepada anak-anak mereka. Inilah masa depan negara,” tambah Megat.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali telah merasmikan majlis tersebut bersama Datuk Megat D Shahriman Zaharudin dan menyampaikan amanat serta menyokong usaha murni memartabatkan sukan di dalam komuniti orang kurang upaya.

Sukan Komuniti Orang Kurang Upaya (SuKOM OKU) ini turut menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam lima sukan utama iaitu badminton para, boccia, bola tampar duduk, bola sepak buta dan catur buta.

MBSJ juga merupakan PBT kedua yang telah mengadakan program SuKOM OKU selepas 16 September 2023 di Manjung Perak.