POSISI penjaga gawang utama Harimau Malaya yang sebelum ini sering ‘dikuasai’ Farizal Marlias kian tergugat selepas pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon mula ‘berminat’ dengan Kalamullah Al Hafiz, Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim dan Azri Ghani.

Melihatkan persembahan menyakinkan Kalamullah dan Syihan, Pan-gon pastinya sudah tidak perlu risau seandainya Farizal mengalami kecederaan selain tidak mendapat pelepasan dari kelab.

Jika sebelum ini posisi benteng terakhir hanya didominasi seorang pemain kini kemelut itu dianggap selesai malah tiada pemain yang berada dalam zon selesa.

Farizal yang sebelum ini antara pemain tetap bagi posisi gawang Harimau Malaya tidak tersenarai untuk menyertai kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sebaliknya Pan-gon menyenaraikan Kalamullah Al Hafiz (Kedah), Syihan Hazmi (Negeri Sembilan) Rahadiazli Rahalim (Terengganu) dan Azri Ghani (KL City FC) untuk panggilan kali ini.

Keempat penjaga gawang ini dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives sebelum menyertai kejohanan Piala AFF Mitsubishi bermula 21 Disember nanti.

Kalamullah Al Hafiz yang diturunkan beraksi ketika berdepan Kemboja, Jumaat lalu manakala Syihan menentang Maldives malam tadi sudah pasti akan menyertai skuad Harimau Malaya.

Dari kiri: Rahadiazli, Azri, jurulatih, Kalamullah dan Syihan.

Kini hanya tinggal satu slot dimana Pan-gon hanya akan membawa tiga penjaga gol untuk membarisi 23 pemain menyertai Piala AFF 2022.

Sama ada Rahadiazli Rahalim mahupun Azri Ghani hanya Pan-gon yang akan membuat keputusan terakhir.

Apa yang pasti semangat Demi Lencana Didada dan bermain untuk negara pastinya menjadi faktor utama yang akan diambil kira Pan-gon.