MALAYSIA Football League (MFL) tidak bimbang dengan dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mungkin boleh menggugat keyakinan penaja sekali gus menurunkan nilai komersil Liga Malaysia pada masa akan datang.

Ini selepas JDT menguasai pertandingan dengan muncul juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dan musim ini dilihat sudah menunjukkan dominasi yang dominan apabila memenangi lapan perlawanan liga dengan 36 gol dan hanya bolos sekali.

Ianya sekali gus mencetuskan rasa bimbang Liga Malaysia akan kehilangan nilai komersil kerana saban tahun penyokong sudah mengetahui siapakah yang bakal muncul juara dan pasukan lain sekadar merebut tempat kedua.

 

Namun perkara ini sedikit pun tidak menggusarkan MFL malah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam melihat bahawa jenama JDT itu sendiri adalah nilai komersil dan daya penarik kepada para penaja untuk menaja Liga Malaysia.

“Mungkin ada yang berpandangan dominasi JDT akan menyebabkan Liga Malaysia berkurangan nilainya tetapi jenama JDT itu sendiri adalah nilai komersil yang tidak ada tandingannya di Malaysia dan ianya menjadi daya penarik buat para penaja untuk turut serta dalam kejayaan ini.

“Oleh itu JDT dilihat menampung kekosongan yang mungkin ditinggalkan penaja malah mungkin boleh membawa nilai penajaan yang lebih tinggi kerana jenama JDT itu sendiri sangat kuat.

Stuart Ramalingam, CEO MFL

“Kita tidak boleh nafikan jenama JDT yang menakjubkan telah melonjakkan nilai komersil untuk Liga Malaysia. Kehadiran Harimau Selatan bukan sahaja menaikkan imej liga tempatan malah penglibatan mereka di Liga Juara-Juara AFC juga membantu Liga Malaysia lebih dikenali,” kata Stuart ketika ditemui FLASH SUKAN.

Baru-baru ini MFL telah mengumumkan pengagihan pendapatan berdasarkan merit dengan kesemua 14 pasukan yang menyertai Liga Super 2023 bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah distribution pool yang diterima 14 pasukan ini pada 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah Liga Super 2023 lebih lumayan, juara kaut RM2.4 juta

Sistem pengagihan itu bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu yang membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta.

Aksi JDT di Liga Juara-Juara AFC

Stuart juga kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan JDT dan melihat Harimau Selatan sedang dalam usaha menyediakan pasukan untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC musim ini demi mencabar kelab-kelab terbaik dari seluruh Asia.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik JDT di Liga Juara-Juara AFC adalah di peringkat 16 terbaik pada musim 2022 selepas muncul juara mengenepikan juara Korea Selatan dan Jepun sebelum tewas kepada Urawa Red Diamond.