ARKITEK tengah Terengganu FC, Habib Haroon Haroon Saeed mengakui kehadiran penyokong berjaya menyuntik moral pasukan bagi memastikan Terengganu FC menumpaskan Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Rabu malam.

Jelasnya, dia menzahirkan ucapan terima kasih kerana penyokong pasukan tersebut sanggup datang sejauh itu untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Baginya, pemilihannya bersama kelab tersebut adalah pemilihan yang tepat kerana Sang Penyu telah menunjukkan kemampuan sebenar beraksi sebagai pasukan yang digeruni lawan.

Habib Haroon arkitek tengah Terengganu FC musim ini.

“Tanpa penyokong, kita bukan siapa-siapa. Mereka telah berkorban dari Terengganu ke sini. Ia bukan mudah. Sampaikan salam sayang saya buat mereka.

“Saya telah bermain bermain untuk pelbagai kelab. Saya sangat bertuah kerana berada di Terengganu. Terengganu adalah pasukan yang baik. Pasukan kita semakin digeruni lawan,” jelasnya kepada media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Sementara itu, pemain kacukan Jerman-Filipina, Manuel Gelito Ott menegaskan kejayaan pasukan Terengganu FC pada Rabu malam adalah disebabkan pemain sangat berdisiplin dan mengikut taktikal yang diterapkan jurulatihnya, Nafuzi Zain.

Manuel Gelito Ott

“Kita hanya bermain mengikut arahan jurulatih. Jurulatih mempunyai pelan permainannya. Kita bermain dengan cara kita dan kita sangat teruja untuk perlawanan final di Piala FA.

“Ia tahun pertama saya bersama Terengganu. Keputusan yang baik untuk kita. Dua perlawanan dalam satu minggu, sudah tentu kita sangat penat. Dengan mendapat keputusan ini ia menyuntik keyakinan kami dan berjaya menjaringkan satu gol,” ulas Ott.

Untuk rekod, ia merupakan tahun pertama bagi kedua-dua pemain ini bersama kelab Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Manuel Ott bersama kelab Melaka United pada 2021 manakala Habib Haroon mewakili kelab dari Bahrain, Al- Riffa pada 2018.