PENOLONG ketua jurulatih Sarawak United FC, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, mengakui kekalahan 7-0 kepada Selangor FC tersebut berpunca daripada ketiadaan ketua jurulatih B. Sathianathan yang berdepan dengan masalah kesihatannya.

Ahmad Nurfaizal mengakui tanpa kehadiran ketua jurulatih bukanlah mudah, lebih-lebih lagi berdepan dengan pasukan hebat seperti Selangor FC, namun tetap meneruskan perjuangan pasukan.

Tambahnya,  mereka juga kehilangan beberapa pemain import yang sangat diperlukan skuad tersebut pada masa ini.

“Kita terima kekalahan ini, disebabkan kita lihat juga kekurangan yang kita hadapi. Seperti yang kita kata tadi, apabila coach Sathia tiada, ada gangguan dari segi persiapan sebab ada perkara yang perlu diatasi dalam masa yang singkat.

“Boris tidak bermain, Uche Agba mengalami keretakan tulang rusuk, jadi ini menjejaskan persiapan kami.

“Pengurusan dan jurulatih Sathia sendiri ada meninggalkan pesan… ‘biar leput, anang cabut’. Sebenarnya, perlawanan pada malam ini kita dah buat keputusan bermain untuk dia sebenarnya,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ia adalah pesanan Sathianathan kepada pemain-pemain bagi mengembalikan semangat untuk berkorban habis-habisan dan jangan menyerah meskipun apa yang terjadi.

 

Kali terakhir Sathia bersama pasukan Sarawak United adalah pada 12 Jun sebelum dia dikhabarkan tidak sihat namun enggan mengulas lebih lanjut tentang penyakit yang dihadapinya itu.

Dalam sidang media tersebut, kelihatan Ahmad Nurfaizal turut mendoakan kesihatan Sathia sambil melontarkan harapan agar dia kembali ke pangkuan Sarawak United FC yang sangat memerlukannya pada masa ini.

“Jika anda melihat ini (Sathia), semoga cepat sembuh. Kami mahukan anda kembali dalam pasukan. Tempoh pemulihan dikatakan dalam masa 12 bulan untuk berada pada tahap sediakala,” katanya.