SELAGI Liga Malaysia tidak mempraktikkan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) selagi itulah pengadil-pengadil Malaysia hanya akan mengadili perlawanan di ‘kampung’ sendiri.
Itulah hakikatnya perlu diterima pengadil-pengadil Malaysia buat masa sekarang. Jika sebelum ini kita boleh lihat nama pengadil Malaysia di pentas Asia mahupun Piala Dunia, namun tidak sekarang.
Apa yang menariknya, Liga Premier Singapura dikhabarkan akan mula menggunakan VAR musim depan.
Ia sekaligus bakal menjadikan Singapura sebagai negara ketiga Asean dan kesebelas Asia yang menggunakan VAR dalam liga profesional tempatan.
Malah pada Piala Dunia di Qatar Disember ini, pengadil Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari dilantik sebagai Pengawai Perlawanan Video (VMO).
Mengakui sedikit kerugian buat pengadil-pengadil Malaysia, Technical Referee Instructor FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Subkhiddin Mohd Salleh mengakui sudah banyak liga negara lain telah mula menggunakan teknologi VAR ini.
“Selagi Liga Malaysia tidak menggunakan teknologi ini, ia membuatkan pengadil-pengadil kita sedikit ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain. Mereka hanya akan bertugas dalam negara sahaja. Peluang untuk mengadili ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat Asia dan Piala Dunia memang agak jauh.
“Sebelum penggunaaan VAR ini, kita boleh lihat nama-nama pengadil dari Malaysia di pentas Asia mahupun Piala Dunia,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Tambah Sukhiddin,55, yang juga bekas pengadil FIFA berkata, sekiranya liga profesional Malaysia tidak mampu menyediakan VAR secara keseluruhan, pasti ada pilihan lain.
“Sebelum penggunaan teknologi ini, pengadil-pengadil perlu mendapatkan lesen dahulu. Selepas itu baharulah VAR boleh digunakan. Kalau tidak mampu menggunakan dalam semua perlawanan, boleh juga bermula dengan beberapa perlawanan dahulu.
“Contohnya dalam aksi suku akhir, separuh akhir atau akhir. Sekurang-kurangnya pengadil liga kita ada ‘improvement’,” tambahnya.
Dalam pada itu Subkhiddin turut berkongsi perkembangannya kariernya yang kini turut dilantik sebagai Ketua Pengajar Pengadil bersama Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA).
“Sebenarnya saya sudah bersama KFA sejak tahun 2020 tapi ketika itu hanya membantu sahaja. Tahun lepas saya secara rasmi dilantik dan tahun ini disambung lagi untuk berkongsi ilmu bersama pegadil-pengadil dalam liga di sana.
“Pengadil di sana lebih mencabar kerana perlawanan tahap yang lebih tinggi. Sebarang keputusan yang bukan mudah buat pengadil. Jadi kami selalu ada perbincangan antara satu sama lain berdasarkan situasi yang berbeza.
“Selain itu, sekiranya ada isu yang dibangkitkan penyokong-penyokong selepas perlawanan, kami akan adakan sidang media untuk memberi penjelasan berdasarkan keputusan pengadil ketika sebarang perlawanan.
“Dalam kata lain ia juga seperti ‘educate’ penyokong mengenai kenapa keputusan-keputusan tersebut dibuat (pengadil),” ujarnya.
Sebagai rekod, AFC mula menggunakan teknologi VAR pada aksi suku akhir Piala Asia UAE 2019, manakala bagi Piala Dunia pada tahun 2018.