HANYA satu pasangan beregu campuran dan satu perseorangan lelaki dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa cabaran negara di Kejohanan Badminton Terbuka Hylo, Jerman, selepas pemain utama lain disahkan menarik diri dari kejohanan itu.

Ini termasuk gandingan Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani dan juara Terbuka Perancis, Pearly Tan-M Thinaah.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, penarikan diri beberapa pemain negara di bawah naungan BAM itu dibuat berdasarkan alasan yang kukuh.

Pearly Tan-M thinaah capai sasaran layak ke Saingan Akhir Jelajah Dunia selepas muncul juara Terbuka Perancis.

“Tarik  diri dari kejohanan ini, ada disebabkan ‘reward’ dan ada juga ‘punishment’, tengok performance sebab apa? Seperti Pearly-Thinaah, penarikan diri dari Terbuka Hylo dikira sebagai reward atas kejayaan muncul juara di Terbuka Perancis, selain turut layak ke Jelajah Akhir Dunia di Guangzhou, Disember ini.

“Kalau Sze Fei-Izzudin pula kita sasaran mereka untuk layak pe Jelajah Akhir Dunia tapi mereka kandas di pusingan pertama Terbuka Denmark dan kita beri peluang lagi di Terbuka Perancis, tewas pula di pusingan kedua.

“Jadi, saya juga sudah dapatkan maklum balas daripada jurulatih mengiringi pemain ke Eropah, bincang dan Tan Bin Shen sahkan prestasi mereka kurang baik,” kata Rexy.

Goh Sze Fei(R) dan Nur Izzuddin kandas di pusingan pertama Terbuka Denmark dan pusingan kedua Terbuka Perancis, sekali gus gagal melayakkan diri ke Saingan Akhir Jelajah Dunia.

Menurut Rexy, pihaknya tidak mahu pemain memperoleh mata ranking hanya kerana menyertai banyak kejohanan, sebaliknya mahukan kualiti  menyertai kejohanan dengan pencapaian, terutamanya pemain yang sudah berada dalam skuad senior.

Pada Terbuka Denmark, Sze Fei tewas di pusingan pertama kepada gandingan Taiwan, Lee Yang-Lu Chen 18-21, 14-21.

Di Terbuka Perancis pula, mereka tewas di pusingan kedua kepada beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 18-21, 21-19, 17-21.

Pearly yang mengalami kecederaan di Terbuka Jepun, menyertai kejohanan pertama sebaik pulih di Terbuka Denmark sebelum tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qin Chen-Jia Yi Fan, di pusingan kedua.

Pearly-Thinaah kemudian muncul juara di Terbuka Perancis Ahad lalu, dengan menewaskan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-19, 18-21, 21-15.