KEWUJUDAN satu lagi entiti sukan di bawah jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) – JDT Racing Team serta impak yang dibawa Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail berjaya menarik minat pengeluar minyak dan gas terbesar negara, Petronas untuk menjalin kerjasama menyeluruh.

Petronas yang sememangnya sinonim dengan sukan permotoran kini adalah penaja utama pasukan Formula 1 AMG Mercedes Petronas serta Litar Antarabangsa Petronas Sepang dijangka bakal meluaskan kuasanya bersama JDT Racing Team.

JDT Racing Team yang dikendalikan pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya membuat penampilan positif pada debut mereka di Kejohanan Asia Road Racing Championship 2024 apabila berjaya meraih podium dalam perlumbaan sulung bulan lalu di Thailand.

Jenama JDT sekali lagi berjaya tarik tajaan syarikat gergasi korporat

Prinsipal Pasukan, Steven Tan mengesahkan perkara ini selepas dihubungi FLASH SUKAN dan berkata kerjasama ini bukan sahaja melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar.

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” katanya.

Steven turut menyatakan penglibatan Petronas bersama pasukan tidak hanya terhenti di dalam litar sahaja sebaliknya ia turut melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.

Litar Pasir Gudang bakal dinaiktaraf untuk menjadi hab permotoran JDT

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya.

Litar Pasir Gudang yang ikonik sepanjang 3.8km itu sudah tentu akan menjadi satu lagi tarikan buat pengunjung kerana litar itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan pernah menjadi tuan rumah untuk GP Motosikal Dunia pada 1998.

Perkara positif ini juga menarik perhatian peminat sukan permotoran dan juga pesaing JDT Racing Team, TKKR Racing yang memuat naik ucapan tahniah atas kejayaan menarik minat penajaan dari salah satu pemain besar dalam industri.