PERUBAHAN mendadak terutama dari sudut kekuatan mental yang ditunjukkan oleh pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 mendapat pujian dari jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Tat Meng menyatakan semua pihak dapat menilai sendiri tahap mentaliti yang ada pada pemain profesional itu ketika dia bangkit untuk merebut pingat gangsa yang menjadi pingat pertamanya di Temasya Olimpik.

“Ianya satu kebangkitan yang baik oleh Zii Jia dalam kejohanan besar seperti Olimpik terutama selepas kekalahannya di separuh akhir. Kita semua gembira kerana dia cepat bangkit dan itu buatkan saya bangga dengannya.

“Kita juga boleh nampak dari persembahan dia beberapa tahun ini jika digandingkan sebelum ini, mental dia sangat kuat dan kini kami akan fokus kepada semua kejohanan yang akan datang sehingga akhir tahun,” kata Tat Meng ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris pada Rabu.

Jurulatih berusia 57 tahun itu juga yakin kejayaan Zii Jia merah gangsa di Olimpik itu akan menjadi pemangkin semangat buatnya untuk tampil lebih baik di kejohanan-kejohanan terbuka selepas ini.

“Saya juga pasti kemenangan pingat gangsa ini akan bantu dia untuk beraksi lebih baik di Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea selepas ini,” jelasnya.

Kejayaan Zii Jia di Paris juga menyaksikan dia berjaya naik satu anak tangga ke tangga keenam dalam kemaskini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Hasil kemaraannya ke peringkat separuh akhir dan penentuan pingat gangsa itu telah memberikannya sebanyak 11,500 mata sekali gus membolehkannya mengumpul 83,716 mata secara keseluruhan.