SEHARI selepas kekalahan mengejut skuad badminton wanita kepada Filipina pada Isnin, pengurus pasukan Mohd Taupik Hussain akhirnya bersedia berdepan media di Dewan Badminton Techo Morodok, Phnom Penh.

Menurutnya, kekalahan yang terpaksa diterima skuad badminton itu amat mendukacitakan, namun mereka perlu kekal kompak dalam semangat sepasukan yang tinggi.

“Semua sedia maklum Malaysia tewas 3-0 kepada Filipina, saya bagitahu pemain bahawa itu satu kesilapan.

“Mungkin kita tewas tetapi kita harus pandang ke hadapan kerana acara individu akan bermula 12 Mei nanti, jadi saya mengharapkan pemain wanita kita berjaya mengembalikan kekuatan mental, tahap kecergasan dan melakukan persediaan yang baik,” kata Mohd Taupik yang juga Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas disingkir Filipina semalam, pemain wanita yang ditugaskan dalam acara individu, mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan persiapan dan mereka perlu buktikan pemilihan mereka ke temasya serantau di Kemboja ini, satu pelaburan yang berbaloi.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai memberi bayangan sedia berundur daripada pantadbiran akademi itu, ekoran kekalahan skuad wanita kepada Filipina.

Artikel Berkaitan:  Michelle Chai beri bayangan lepas jawatan CEO ABM