BERITA baik buat semua penyokong bola sepak tempatan apabila kini lebih banyak peluang disediakan untuk menonton aksi Liga Super secara percuma bersama-sama keluarga dan masyarakat.

Ini selepas Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Malaysia Football League (MFL) akan menyediakan tayangan skrin besar di negeri-negeri terpilih bermula pada 1 Mac 2023.

Untuk bulan Mac 2023, sebanyak empat venue telah dipilih sebagai salah satu program untuk menyemarakkan lagi sukan bola sepak disamping memupuk semangat kesukanan dan juga perpaduan di kalangan rakyat.

 

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Menara KBS, Putrajaya pada Rabu.

Hannah berkata program ini diteruskan selepas mendapat sambutan hangat masyarakat setempat ketika ianya diadakan bersempena Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric dan Piala Dunia Hoki di Odisha, India.

“Berdasarkan data yang kita perolehi, acara skrin besar ketika Piala AFF banyak dihadiri oleh keluarga. Pihak kami mahu teruskan ‘trend’ ini dan menyeru penyokong untuk keluar memeriahkan program ini kerana ianya akan membantu kelangsungan program ini di masa hadapan berdasarkan sambutan daripada para penyokong.

“Pihak KBS juga bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin dan program ini juga dilihat dapat membantu ekonomi setempat,” kata Hannah ketika sidang media.

Sementara itu, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan turut mengucapkan terima kasih kepada KBS atas usaha murni untuk membantu memeriahkan lagi Liga Malaysia musim ini.

“Program skrin besar ini diadakan di negeri yang pada ketika itu pasukan bola sepak mereka beraksi di tempat lawan. Ianya untuk merapatkan hubungan komuniti dan beri peluang para belia untuk menonton bola sepak dan memberikan sokongan sekaligus membantu meningkatkan lagi kemeriahan Liga Malaysia,” katanya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyatakan program ini adalah antara agenda utama MFL dalam transformasi liga tempatan.

Untuk bulan Mac 2023, sebanyak empat venue telah dipilih sebagai lokasi iaitu Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu untuk perlawanan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pada 1 Mac dengan Kompleks Belia Dan Sukan Batu Uban pula sebagai lokasi kedua pada 5 Mac untuk perlawanan melibatkan Kelantan FC dan Penang FC.

Perlawanan Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC pada 11 Mac boleh ditonton di Kompleks Belia Dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan sementara Dataran Starwalk, Alor Star bakal menjadi lokasi skrin gergasi untuk menonton perlawanan antara Kelantan United FC dan Kedah Darul Aman FC pada 13 Mac.

Hannah turut berkata kemungkinan lebih banyak lokasi akan ditambah sekiranya program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong dan juga sokongan daripada pihak berkuasa tempatan.