SAYAP kiri Selangor FC yang juga memiliki kemampuan bermain di posisi serangan, Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi harap kehadiran jurulatih berpengalaman luas, Tan Cheng Hoe ke kem Selangor FC dapat mengubah landskap pasukan ke arah yang lebih baik.
Keyakinan itu dilontarkan Shahrel Fikri atau mesra di sapa Eky selepas melihat jurulatih berusia 54 tahun tersebut hadir menerapkan elemen penguasaan bola berbeza dengan pengendali dari Jerman, Michael Feichtenbeiner yang menumpukan kepada aspek ‘ high pressing‘.
Selain itu, Eky turut memuji bekas pengendali Kedah itu kerana memiliki karakter yang begitu dekat dengan pemain serta sentiasa bernafsu mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Sabah itu masih bergelut dengan tahap kecergasan sebenar kerana kurang minit permainan namun beriltizam akan berusaha sedaya upaya mengembalikan keyakinan Tan Cheng Hoe.
“Setakat ini, saya tengok pemain-pemain semua positif. Dengan adanya jurulatih Tan Cheng Hoe ini diharap dapat mengubah sesuatu untuk pasukan.
“Bagi saya setiap jurulatih ada peranan masing-masing, jadi Tan Cheng Hoe ini lebih kepada penguasaan bola, tidak mustahil kepada pemain untuk terima apa yang jurulatih bawa.
“Tan Cheng Hoe, saya memang nampak dia ada karakter sebagai seorang jurulatih yang boleh masuk dengan pemain. Hendak cakap garang itu, kadangkala. Dia juga memiliki karakter yang inginkan kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Tahap kecergasan itu agak kurang kerana kurang minit permainan. Saya akan dapatkan kepercayaan jurulatih Cheng Hoe untuk buktikan perkara ini ,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang SUK, Shah Alam, petang Selasa.