KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampil menjelaskan sebab mengapa Ahmad Khuzaimi Piee dan Ruventhiran Vengadesan masih tidak diturunkan dalam dua perlawanan awal sebelum ini ketika bertemu Kelantan United FC dan Kuching City FC.
Jelasnya, kedua-dua pemain kebangsaan ini mempunyai kebolehan masing-masing dalam mengaplikasikan taktikal yang diterapkan jurulatih.
Bagaimanapun, dia mengakui Fazly Mazlan berada dalam kesebelasan utama pasukan adalah kerana memperagakan aksi lebih baik dalam dua perlawanan awal ketika diturunkan menentang Kelantan United FC dan Kuching City FC.
Manakala, Cheng Hoe merasakan Ahmad Khuzaimi Piee belum dapat diturunkan kerana Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem Zulpakar lebih ampuh ketika mengekang asakan lawan.
“Memang kedua-dua pemain datang dari skuad kebangsaan. Kita pun ramai pemain seperti contoh Ruventhiran yang bermain dalam left back. Fazly Mazlan juga bermain dua perlawanan dengan begitu baik. Bukan mudah untuk mana-mana jurulatih memilih sama ada Ruventhiran atau Fazly Mazlan.
“Macam Jimmy pada masa ini kita nampak Yazan dan Afro bermain dengan lebih baik. Jimmy sentiasa dalam perancangan pasukan jugalah. Dua perlawanan awal ini sukar untuk kita tentukan inilah pemain kesebelasan utama kita sampai penghujung musim. Jadi, pemain-pemain kena bersedialah,” jelas Cheng Hoe.
Biarpun bermain pada waktu petang dengan cuaca yang tidak menentu kadangkala hujan dan ada kalanya panas, Cheng Hoe enggan meletakkan ianya sebagai alasan untuk gagal mempamerkan aksi memberangsangkan kerana latihan juga diadakan pada waktu sebelah petang.
“Itu bukan satu tekanan atau alasan bermain pada waktu petang juga kerana kebanyakan masa kita berlatih pada waktu petang juga. Mungkin dari segi tempo atau intensiti saya tidak pasti, tetapi saya tidak menganggap itu sebagai suatu alasan pemain-pemain tidak boleh beraksi dengan baik,” katanya.
Menjelang aksi pada Ahad petang, dia mahu pemain kembali bertenaga dan fokus berdepan Sri Pahang serta cuba mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri untuk menjarakkan mata dengan pasukan-pasukan lain.
“Hari ini mungkin pemain buat recovery sahajalah, kita baru habis bertemu Sarawak. Saya mahu pemain kembali segar dalam pertemuan bertemu Sri Pahang nanti,” ujarnya.