TEAM LZJ seharusnya bersyukur dengan keterbukaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membenarkan bekas pemainnya menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, perkara sebegitu tidak berlaku pada zamannya dan beliau berasakan pemain profesional tidak mempunyai hak ke atas kemudahan di ABM.
Beliau berkata, isu berhubung peraturan BAM yang mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM, Bukit Kiara, bukan isu besar untuk diperbesarkan.
Jalani berpendapat pemain di ranking ke-13 dunia itu, perlu bersyukur memandangkan kebenaran yang diberikan badan induk itu sebenarnya banyak mendatangkan manfaat kepada dirinya berbanding berlatih di luar.
“Kenapa perlu nak dibangkitkan isu baju bila BAM beri kebenaran kepada pemain profesional berlatih di sana, sedangkan bakat dalam BAM itu boleh bantu dia berlatih. Dulu waktu jadi pemain profesional saya tak dapat kelebihan macam ini.
“Saya setuju dengan pendapat Lee Chong Wei, mengapa Jepun boleh buat. Siapa yang main untuk negara walaupun bermain guna Mizuno atau jenama lain tapi tetap hormat penaja badan induk.
“Bila persatuan ada undang-undang dan peraturan mereka kena ikut dan akur. Bagi saya ia adil dan benda remeh seperti ini bagi saya tak perlu diperbesarkan dan perlu sedar bahawa mereka orang luar dan bukan BAM lagi.
“Ia tak bagus untuk senario badminton negara. Kalau betul mereka nak berlatih di dalam kena berkorban dan bagi saya isu ini tak patut berlaku,” katanya.
Isu ini bermula dengan kenyataan Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng menerusi hantaran di Instagram miliknya mendakwa seperti dibuli ‘orang besar’ selepas BAM mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM.
Katanya, dia terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung bermula Isnin ini hingga 27 Ogos.
Bagaimanapun, BAM menjelaskan peraturan yang ditetapkan itu sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan ia adalah satu obligasi kontrak untuk hanya menggunakan pakaian penaja di ABM.
Kontroversi yang ditimbulkan pasukan Zii Jia turut mendapat reaksi Chong Wei yang menyelar tindakan mereka yang didakwa sengaja mahu mencetuskan isu ketika pemain profesional lain tidak berdepan masalah.