KEDAH Darul Aman (KDA) FC meraih kemenangan keempat Liga Super 2023 setelah menewaskan Kuching City FC 3-0 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Tuan rumah membuka akaun jaringan hasil ledakan jarak jauh Akmal Md Zahir minit ke-28 yang membuatkan penjaga gawang pelawat, Julian Schwarzer Garcia tergamam.
Permainan babak kedua menyaksikan Kuching City mula memperkemaskan rentak permainan dalam usaha mencari jaringan penyamaan.
Namun, Sang Kenari terus selesa juga melalui penjaring sama, Akmal yang menanduk masuk hasil sepakan sudut m-49.
LIGA SUPER 2023
FT: KDA FC 3-0 Kuching City
⚽ Akmal Md Zahir 28', 49' , Manuel Hidalgo 58'#LigaSuper2023#PulunKedahPulun#kamekkuchingcity
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 17, 2023
Asakan bertali arus tuan rumah mula memberi tekanan kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim apabila Manuel Hidalgo menambah jaringan ketiga m-58.
Jonathan Balotelli yang dimasukkan sebagai pemain gantian acap kali mengasak kubu Kuching tetapi juga tidak berjaya melakar nama selaku penjaring untuk Kedah.
Pelawat melakukan tiga pertukaran serentak dan usaha itu gagal menemui sebarang gol sehinggalah kedudukan itu kekal hingga wisel penamat separuh masa kedua dibunyikan.
KDA FC yang dibimbing Nafuzi Zain kini naik ke tangga ketiga dengan memungut 12 mata dan terus menekan dua pasukan atasan, Johor Darul Ta’zim dan Sabah FC.