KETUA pasukan skuad Selangor TOT United, Yazid Kamaruzuan mengakui pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan lebih tertekan pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) meskipun berjaya mencatat kemenangan 7-5.
Yazid juga menegaskan bahawa dia yakin dengan pasukannya dan jika dilihat sebentar tadi mereka tidak bermain dalam tekanan hari ini berbanding JDT yang tampak lebih mahukan kemenangan dan akan mengekalkan corak permainan yang sama di peringkat kedua nanti.
“Sudah pasti saya yakin dengan pasukan saya 200 peratus. Kita memang setiap perlawanan lakukan sebaik mungkin dan sekarang kami di separuh akhir.
“Semua perlawanan kami anggap macam final dan tekanan lebih di pihak mereka kerana mereka pasukan besar manakala kami hanyalah ‘underdog’ dan kita bermain dengan tidak terlalu tertekan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada Isnin, Selangor TOT berjaya mengejutkan JDT pada awal permainan dengan mendahului 3-0 sebelum JDT mengurangkan defisit kepada 3-2 sebelum tamat babak pertama.
JDT kemudiannya menambah lima lagi gol pada babak kedua untuk membawa kelebihan tujuh gol di tempat lawan dengan TOT menjaringkan dua lagi gol untuk cuba merapatkan kedudukan namun tidak berjaya.
Yazid juga optimis bahawa Selangor TOT mampu menyekat JDT di Pasir Gudang pada separuh akhir kedua minggu hadapan sekaligus layak ke akhir untuk bertemu sama ada Pahang Rangers atau Selangor MAC.
“Pusingan kedua, tak mustahil kita akan atasi mereka balik seperti yang kita lakukan semasa separuh masa pertama tetapi hari ini rezeki berpihak kepada mereka sebab kita leka, kesilapan sikit terus dihukum, Inilah futsal.
“Jadi kita akan balik ke latihan, gerak ke Johor pada Jumaat dan bermain semula di sana selain kami harap dapat ulangi kejayaan masa di peringkat sebelum ini tetapi kurangkan kesilapan dan atasi mereka,” jelasnya.
Meskipun menjaringkan hatrik, Yazid masih belum berpuas hati dengan prestasinya dan dia mahu berikan yang lebih baik bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.