PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui tekanan akan lebih dirasai oleh Terengganu FC berbanding pasukannya dengan segala ketidaktentuan yang berlaku dalam pasukan Pantai Timur itu ketika ini.

Bojan turut menegaskan bahawa kebanyakan pemain KL City FC sudah pun menandatangani kontrak untuk musim hadapan dan ini adalah perkara yang baik buat pasukannya sebelum menghadapi dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia.

Dia juga sudah menganalisa perlawanan Terengganu FC dengan beberapa kelemahan dapat dikesan meskipun skuad Peteh kini berada pada kemuncak prestasi selepas membelasah Sri Pahang 9-3 menerusi aggregat.

“Kita akan saksikan dua perlawanan yang sukar di peringkat suku akhir ini. Kami mempunyai musim yang baik dan tidak merasai tekanan kerana Terengganu FC perlu memikirkan lebih banyak perkara terutama mengenai sama ada jurulatih dan juga pemain utama mereka sama ada akan kekal atau tidak musim hadapan.

“Berita baik buat pasukan KL City pula adalah kebanyakan pemain kami sudah menandatangani kontrak untuk musim hadapan sekaligus mengurangkan tekanan dan ianya sangat baik buat kami.

“Terengganu adalah pasukan yang baik ketika ini. Mereka yakin kerana berjaya menjaringkan sembilan gol ketika bertemu Sri Pahang dan jika kami mahu bersaing, kami perlu bertahan secara kompak dan tidak membenarkan mereka untuk masuk ke kawasan kami kerana mereka sangat berbahaya.

“Dua jaringan awal yang mereka perolehi adalah kerana kesilapan pertahanan Sri Pahang tetapi kami juga berjaya mengenalpasti beberapa kelemahan mereka dan akan menggunakan semua peluang yang ada.

“Bermain di Piala AFC menentang pasukan terbaik Asia membantu kami untuk bertemu Terengganu yang juga pasukan yang hebat tetapi untuk bergelar juara kami perlu tewaskan mereka seperti yang berlaku kepada kami musim lalu,” katanya yang ditemui FLASH SUKAN selepas sesi latihan pada Jumaat

Bojan turut menyeru penyokong KL City untuk turun ke stadium dan jika berjaya mencatatkan angka kehadiran seperti final Piala AFC ianya sangat hebat kerana sejak tahun lalu angka kehadiran ke stadium semakin meningkat buat KL City.

Kuala Lumpur City FC yang dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia bakal berhadapan Terengganu FC dalam aksi suku akhir dengan semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali Kenny Palraj yang digantung.