PENGURUS pasukan B-23 tahun kebangsaan, Datuk Seri Shahril Mokhtar yakin barisan pemain Harimau Malaya mampu untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC B-23 di Qatar tahun hadapan kerana skuad kali ini dibarisi pemain yang berpengalaman.
Meskipun mencatatkan keputusan yang kurang baik di Sukan SEA dan Piala AFF B-23 sebelum ini, Shahril percaya skuad kali ini lebih matang kerana para pemain sudah mendapat pendedahan yang banyak di Liga Super dan juga di peringkat senior kebangsaan.
Beliau juga mahu para pemain berjuang sehabis baik meskipun sedar tumpuan penyokong lebih terarah kepada pasukan senior yang beraksi serentak dengan skuad B-23 tahun kali ini.
“Kalau kita lihat pada senarai akhir pemain rata-rata mereka adalah pemain yang berpengalaman yang banyak didedahkan di Liga Super dan beberapa kali juga sudah bermain di peringkat senior kebangsaan. Semuanya nampak positif dalam enam hari latihan dan saya yakin pasukan ini akan layak ke pusingan akhir tahun depan.
“Banyak perbezaan dapat dilihat dalam skuad ini kerana pemain lebih berpengalaman dan pemain baharu juga meningkatkan aksi mereka untuk menyamai prestasi pemain lama kerana sudah belajar daripada rakan-rakan sepasukan yang lain.
“Walaupun bermain serentak dengan skuad senior dan tumpuan lebih terarah kepada mereka, tekanan itu tetap ada tetapi saya rasakan pemain masih perlu bersaing dan pasukan akan lakukan yang terbaik dalam kelayakan kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu beliau juga mengharapkan pemain kekal fokus dan tidak memandang rendah kekuatan lawan namun percaya dengan kemampuan pasukan ini yang menunjukkan peningkatan ketika kem latihan pusat.
“Kita tidak boleh pandang rendah kesemua lawan yang kita hadapi kerana Bangladesh dan Filipina adalah lawan yang semakin berkembang baik. Ianya adalah tugas yang sukar tetapi kami yakin pemain mampu memberikan yang terbaik.
“Skuad kali ini juga lebih baik berdasarkan prestasi semasa latihan kerana semua pemain sudah bermain bersama dan nampak banyak perubahan berbanding ketika Piala AFF baru-baru ini,” jelasnya.
Shahril juga gembira dengan undian pasukan kerana berpendapat Malaysia perlu mengambil kesempatan dari kumpulan ini kerana ianya lebih mudah berbanding kumpulan lain sekaligus memberikan keyakinan untuk layak ke pusingan akhir.
“Ianya adalah tugas yang sukar tetapi kami yakin layak. Kumpulan ini boleh dikatakan memberi kelebihan buat kita berbanding kumpulan lain dan kami perlu guna peluang ini dengan tidak perlu terbang jauh dan ianya sangat membantu terutama kerana tidak mempunyai perbezaan masa yang ketara,” tambahnya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan juara kumpulan akan layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar.