KEHADIRAN semula Thailand dalam acara sepak takraw di Temasya Sukan Sea Kemboja, menyemarakkan skuad takraw untuk mampamer aksi terbaik di temasya dwitahunan itu.

Bagi tekong yang terkenal dengan jolokan ‘Tekong Kala Jengking’, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, dia sendiri rasa teruja untuk merebut tempat dalam skuad negara, semata-mata mahu menewaskan skuad Gajah Putih sekali gus memenangi pingat emas di Phnom Penh.

Tidak dapat dinafikan, mengalahkan Thailand yang sememangnya kuasa besar sukan sepak takraw dunia, menjadi impian setiap negara apa lagi Malaysia yang sering dibandingkan kehebatan dengan negara itu.

Malah, menurut Syahir, mengalahkan Thailand di temasya itu diumpama mengembalikan maruah sepak takraw negara.

“Saya memang nak pingat emas, sudah empat tahun saya tak beraksi di Sukan SEA, kali ini saya rasa Insya Allah pasukan Malaysia boleh melakukannya (emas) dalam acara regu dan regu berpasukan.

“Malah disebabkan ada Thailand… kami lebih bersemangat. Sebelum ini kami menang emas tapi Thailand tak masuk. Kali ini, Thailand menyertai acara regu dan regu berpasukan dan ini memang impian saya… berlawan dengan Thailand dan menang pingat emas.

“Tambahan pula, orang ramai juga nak kami menang dengan Thailand dan saya pun begitu. Contohnya kami menang dengan Indonesia, Korea Selatan ataupun negara lain… orang lain dan pemain tak puas hati, jadi kali ini ada Thailand.

“Kami nak menang dengan Thailand, apa cara sekalipun kami nak menang emas itu secara lebih bermaruah,” kata Syahir yang kali terakhir membantu skuad regu meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Semua pemain sepak takraw yang berada dalam kem latihan, tidak sabar untuk berdepan Thailand di Temasya Sukan Sea Kemboja, 5-17 Mei depan.

Ketika itu, Syahir yang bergandingan bersama Farhan Adam dan Mohd Hanafiah Dollah meraih emas manakala Filipina membawa pulang perak manakala gangsa dikongsi bersama Brunei dan Laos.

Begitupun dalam acara regu berpasukan, Malaysia hanya berpuas hati di tempat ketiga bersama Brunei manakala Thailand membawa pulang emas. Perak menjadi milik Indonesia.

Pada penampilan di Hanoi tahun lalu, Malaysia membawa pulang perak dalam kedua-dua acara berkenaan dengan Thailand terus mengekalkan kilauan emas diraih di Filipina 2017.

Mengulas mengenai persaingan dalam kem latihan pusat yang menjadi sesi pemilihan terakhir ke Sukan SEA dan Asia pada ketika ini, Syahir berkata: “Persaingan itu memang ada dan kami bersaing antara kami. Begitupun, kami tetap berkongsi ilmu, bertukar-tukar pendapat serta saling membantu.”

Selain Syahir turut berada dalam senarai pemain tekong dalam kem latihan pusat kali ini adalah Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Faisal Mohd Fuad, Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Najmi Syahfiq Anuar.