PELAPIS perseorangan lelaki negara, Justin Hoh mahu seberapa segera melonjak masuk ke dalam kelompok 32 terbaik dunia, bagi membolehkannya bersaing dalam kejohanan lebih besar, dan mempelajari cabaran baharu.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, dia bagaimanapun tidak mahu terburu-buru mengejar sasaran itu dengan meletak sasaran jangka pendek, untuk kembali ke Top 50 terlebih dahulu.

“Saya tidak ada tekanan untuk bermain dan fokus langkah demi langkah.

“Tetapi saya mahu kembali ke Top 50 sebagaimana sebelum ini dan akan cuba mendapatkan ranking dalam kelompok 32 terbaik secepat yang boleh,” kata Justin, yang masih segar dengan gelaran Antarabangsa Dove Saipan di Northern Marianas, 13 Julai lalu.

Justin Hoh antara pemain dinaikkan Datuk Misbun Sidek.

Justin, 20, meraih kejuaraan kebangsaan bawah 21 tahun (B-21) kali pertama pada 2022, menjuarai gelaran peringkat senior pertama di Kejohanan Antarabangsa Bonn di Jerman disusuli kejuaraan di Terbuka Croatia.

Dia kemudian menjuarai gelaran ketiga di Kejohanan Antarabangsa Remaja India, dan Malaysia pada tahun yang sama.

Justin membuka tirai 2023 dengan naib juara Antarabangsa Iran dan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Uganda yang menyaksikannya berada di ranking ke-48 dunia.

Justin Hoh bukan lagi saingan untuk pemain sebayanya.

Namun, kecederaan koyak Achilles Tendon kiri dalam latihan menyaksikan dia terpaksa menjalani pembedahan pada April 2023, dan hanya kembali beraksi pada November sehingga rankingnya merosot ke tangga 233 dunia.

Justin mula kembali ke tahap prestasi lamanya apabila menjuarai Terbuka Slovenia pada Mei, suku akhir Kaohsiung Masters pada Jun, naib juara Terbuka Marianas dan Antarabangsa Dove Saipan.

Prestasi cemerlangnya dalam kempen Piala Thomas juga membantu memperbaiki kedudukan ranking yang kini melonjak ke tangga 75 dunia.

Menurutnya, sejak kembali beraksi, banyak peningkatan dicapai: “Saya belajar banyak dalam cara menguruskan diri dan beberapa aspek permainan.”

Selepas ini, Justin akan beraksi di kejohanan berstatus Super 100, Masters China pada 6 hingga 11 Ogos.