PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui dia mendengar keluhan daripada para penyokong fanatik Terengganu untuk tidak menurunkan penyerang import, Ivan Mamut selepas pemain itu gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga aksi pertama Liga Super.

Atas desakan itu, dia memberikan peluang kepada Jordan Mintah untuk beraksi ketika bertemu PDRM FC dan akhirnya membuahkan hasil dengan mencatat kemenangan pertama meskipun jaringan bukan datang daripada barisan serangan.

Selain itu, Steinbruckner juga mahu perancang tengahnya supaya lebih cepat menghantar bola ke hadapan bagi meningkatkan lagi tempo permainan ketika berhadapan Negeri Sembilan FC pada Khamis.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner

“Selepas kami tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan, saya mempunyai tiga penyerang iaitu Adisak Kraison, Ivan Mamut dan Jordan Mintah dan secara logiknya saya perlu mencari penyelesaian.

“Saya berikan peluang kepada Mintah dan dia mempunyai tiga peluang dan bermain baik. Sekarang saya dalam situasi perlu memilih mereka berdasarkan prestasi tetapi kini ketiga-tiga mereka sangat baik meskipun masih gagal menjaringkan gol.

“Barisan tengah kami terutama Liridon Krasniqi dan Habib Haroon mempunyai kualiti yang baik tetapi kadang kala memegang bola terlalu lama dan saya mahu mereka lebih pantas untuk meningkatkan tempo permainan,” katanya.

Liridon Krasniqi dan Habib Haroon

Terengganu melonjak ketangga ketujuh liga dari kedudukan tercorot hasil kemenangan sulung itu dan kini mahu menjadikan Negeri Sembilan mangsa seterusnya dalam misi mengembalikan semula keyakinan kepada para penyerang yang masih belum mampu menggegar gawang lawan.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis sudah pasti menjadi tumpuan dengan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan terutama Negeri Sembilan yang masih mencari kemenangan sulung musim ini.