PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag berkata ia terpulang kepada Jadon Sancho sama ada pemain itu mahu menyelamatkan kerjayanya di Manchester United dengan meminta maaf mengenai pertelingkahan mereka.

Sancho kelihatan hampir pasti akan meninggalkan Old Trafford apabila jendela perpindahan dibuka semula pada Januari depan jika United dapat mencari kelab yang bersedia membeli bintang terbuang mereka atau mengambilnya secara pinjaman untuk baki musim.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu tidak bermain selama tiga setengah bulan selepas mengecam Ten Hag sebagai penipu atas alasan dia dikecualikan daripada kekalahan menentang Arsenal pada September.

Sancho telah berlatih sendirian di Carrington dengan bayaran penuh selepas enggan meminta maaf kepada Ten Hag, yang menyebabkan United kehilangan kira-kira £4 juta (RM23.41 juta) dalam gaji mengikut terma kontraknya sebanyak £275,000 (RM1.61juta) seminggu.

Kelab Juventus dan Liga Arab Saudi dilaporkan berminat dengan pemain muda itu, manakala bekas kelabnya, Borussia Dortmund, dikaitkan dengan perjanjian pertukaran untuk Donyell Malen.

Namun Ten Hag pada Jumaat berkata bahawa masih ada masa buat Sancho untuk kekal di United jika dia bersedia mengikut peraturan kelab itu.

“Ini tentang budaya dan setiap pemain perlu mematuhi standard tertentu,” kata jurulatih United dalam temu bual minggu ini yang menegaskan dia tidak menyesal dengan cara dia mengendalIkan kontroversi itu.

“Apa yang akan berlaku, dia tahu apa yang perlu dia lakukan jika dia mahu kembali. Semuanya bergantung kepadanya.”

Apabila ditanya jika dia merasakan wang yang dibelanjakan untuk gaji pemain itu adalah pembaziran, Ten Hag menjawab: “Saya rasa itu perkara dalaman. Kita akan lihat apa yang akan berlaku.”

Bekas pemain United, Nemanja Matic, mengesahkan minggu ini bahawa Sancho dan Paul Pogba adalah antara yang paling sering datang lambat ke sesi latihan.

Image

Sancho dikatakan pemain sering datang lewat ke sesi latihan Manchester United.

Ten Hag difahamkan cuba untuk menerapkan budaya yang lebih berdisiplin dalam kelab itu, dan mengambil pendekatan yang tegas dengan Alejandro Garnacho tahun lalu berkenaan ketepatan masa.

“Saya sedar ada beberapa isu, tetapi ini adalah pemain muda yang perlu belajar apa yang diperlukan, gaya hidup seorang pemain bola sepak profesional. Tetapi pada masa yang sama, dia tahu.”

Baru-baru ini, Ten Hag juga bertindak tegas terhadap Marcus Rashford dan Anthony Martial dengan menggugurkan mereka dari perlawanan menentang Chelsea pada Khamis selepas persembahan lemah mereka dalam kekalahan menentang Newcastle hujung minggu lalu.

Sementara itu, Ten Hag berkata United akan mengkaji untuk memanfaatkan sambungan kontrak satu tahun bagi Martial, Aaron Wan-Bissaka, Victor Lindelof dan Hannibal Mejbri, namun memerlukan persetujuan dari Tottenham untuk membiarkan Sergio Reguilon kekal dipinjam di Old Trafford untuk baki musim.