PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag mengkritik pemainnya kerana ‘gol mudah’ yang menyebabkan Manchester United mengalami kekecewaan kalah aksi Liga Perdana Inggeris di Brighton malam tadi.

Joao Pedro dibiarkan tanpa dicabar pada minit ke-95 untuk melakar kemenangan 2-1 sekalipun United bertahan dengan 10 pemain di dalam kotak penalti mereka.

“Kami perlu belajar,” kata Ten Hag. “Tiada gunanya jika anda mengawal pintu gol seperti kami dan kemudian kehilangan mata.

“Terlalu banyak perkara ketika itu. Kami perlu berbincang dan memikirkan cara terbaik menangani situasi sebegitu. Setiap orang perlu tahu tugas mereka dan sebagai satu pasukan kami perlu mengawal pintu gol daripada dibolosi.

“Kami tidak menghalang hantaran lintang (daripada Simon Adingra). Ada tiga pemain di sana yang patut mengekangnya dan tidak membenarkan hantaran lintang dilakukan.

Penyerang Brighton, Joao Pedro menanduk bola untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95. (Sumber Gambar: Reuters)

“Kami perlu berbincang bagaimana kami bertindak dalam situasi sebegitu sebagai satu pasukan. Ada lebih daripada satu kesilapan ketika itu dan ia memberi impak besar terhadap keputusan.”

Benteng pertahanan United turut bertindak buruk ketika gol pertama Brighton jaringan Danny Welbeck.

“Kami melepaskan dua gol mudah yang mana kami patut bertindak lebih baik sebagai satu pasukan,” kata Ten Hag.

“Kami membiarkan dua gol yang tidak sepatutnya yang boleh dielakkan.

“Akhirnya anda tidak membawa pulang sebarang mata, ia mengecewakan kerana ia mungkin berakhir dengan keputusan berbeza.”