ERIK ten Hag menyalahkan kesilapan pertahanan sebagai punca kekalahan 3-2 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal, sekali gus mereka ketinggalan 11 mata dari persada liga.

Reputasi lima kemenangan berturut-turut menjadi buah mulut di Old Trafford bahawa mereka bakal mencabar kejuaraan, namun keputusan seri dengan Crystal Palace pertengahan minggu lalu dan kekalahan awal pagi tadi, menghapus semua angan-angan itu.

Pada perlawanan itu, United mendahului menerusi jaringan Marcus Rashford, malah ketika ketinggalan 2-1, mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Lisandro Martinez.

Bagaimanapun, jaringan Eddie Nketiah pada minit ke-90 memisahkan kedua-dua pasukan dan Arsenal berhak ke atas kemenangan itu berdasarkan dominasi mereka pada babak kedua.

Foto: Getty Images

“Perlawanan yang menarik dengan tempo tinggi dan penyokong adalah pemenang sebenar,” kata Ten Hag, selepas menyaksikan kelabnya kekal di tangga keempat, di belakang Newcaste United berdasrkaan perbezaan jaringan.

“Ia membabitkan dua pasukan terbaik tapi memang kami kecewa denagn jaringan di lewat permainan. Semua gol jaringan lawan adalah kesilapan kami…perkara sebegini tidak boleh berlaku.”

Kesilapan besar United adalah memberi ruang kepada Nketiah melakukan tandukan bebas selepas Arsenal dihadiahkan sepakan penjuru.

“Malah minggu lalu juga, kami berusaha keras untuk mengatasi situasi sebegini, tapi hari ini tidak. Semua tiga jaringan (Arsenal) itu kami boleh elakkan.

“Mereka memang bagus ketika memegang bola tapi kami juga bagus ketika bertahan. Sebenarnya tidak banyak peluang untuk mereka lakukan jaringan, Cuma kami melakukan kesilapan yang tidak patut berlaku dan itu sukar diterima,” kata pengurus berasal dari Belanda itu.