INSIDEN yang menimpa pemain kebangsaan negara, Faisal Abdul Halim telah mendapat perhatian daripada kerabat diraja Pahang apabila Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah selaku Pengerusi Sri Pahang FC hadir menziarahi Faisal di hospital  di Shah Alam pada Khamis.

Turut hadir bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang itu difahamkan mereka datang ke hospital melawat Faisal dan turut mewakili pemilik Sri Pahang FC, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Walaupun terdapat kekangan untuk melawat Faisal secara langsung di wadnya, Suffian  berkongsi bahawa mereka sempat mengambil peluang untuk membuat panggilan video bersama Faisal, melalui isterinya.

“Mengenang titah daripada pemilik Sri Pahang FC Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, kami asuh dia sewaktu berumur 17 tahun sehingga ke satu peringkat yang terbaik.

Faisal menjalani sesi pembedahan ketiga pada Khamis.

“Apatah lagi Tengku Muda sangat menyayangi Mickey sebagai pemain Sri Pahang dahulu.

“Kita dapat lihat dia mempunyai semangat yang kuat biarpun berada dalam keadaan sakit dan lemah namun saya yakin Faisal akan lebih positif.

“Yang penting pada saya, kita sebagai komuniti bola sepak, kita berkeluarga dan ini kita menzahirkan simpati, menzahirkan doa dan memberi kata semangat kepada saudara Mickey untuk terus menempuh cabaran-cabaran dia supaya rehabilitasi dan progres semakin hari semakin baik.

“Itulah tujuan kami hadir bertanya khabar dan memastikan semua dalam keadaan baik untuknya,”ujarnya ketika ditemui di hospital.