BAKAL Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz enggan memberikan sebarang komen berkaitan badminton itu sebelum bertemu dengan ahli majlis badan induk itu.

Menyedari harapan tinggi rakyat kepada badminton untuk memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata, beliau perlu mendengar pandangan mereka ahli majlis BAM terlebih dahulu, sebelum berkongsi perancangan atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya dengan rasa rendah diri amat menghargai keputusan yang dibuat oleh ahli majlis BAM. Saya teruja untuk bertemu dengan mereka.

“Tidak adil untuk saya buat kenyataan sehinggalah saya bertemu dan mendengar pandangan daripada mereka.

“Mengenai sasaran emas (Olimpik Paris)…kita lihat nanti,” katanya, ketika dipetik menerusi temubual podcast bersama BFM 89.9, semalam.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ditemubual BFM.

Menurut Tengku Zafrul, beliau mahu menjadikan badminton sebagai ‘ejen’ penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

“Sukan menyatukan semua. Selain bola sepak, badminton juga adalah sukan utama yang boleh menyatukan semua. Saya mahu lihat perkara itu di Malaysia,” katanya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini mengumumkan Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara oleh ahli majlis badan induk itu bagi menggantikan tempatnya bermula Januari depan.

Pada Ogos lalu, Norza membuat pengumuman bakal mengosongkan kerusi nombor satu badan induk berkenaan lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Norza yang memegang jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mula mengambil alih kerusi Presiden BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.