BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic berada di landasan tepat untuk memburu rekod baru kejuaraan ke-10 Terbuka Australia, selepas menewaskan pemian Bulgaria, Grigor Dimitrov, untuk melangkah ke pusingan keempat kejohanan.
Bagaimanapun, tahap kecergasan bekas pemain nombor satu dunia itu mungkin menjadi penghalang selepas sekali lagi bergelut dengan kecederaan hamstring.
“Ia seperti bermula dengan cemerlang pada beberapa perlawanan, termasuk kejohanan ini, apabila melakukan beberapa gerakan kemudian ia (kaki) bertambah teruk,” kata Djokovic, yang dua kali mendapatkan rehat untuk menerima rawatan pada perlawanan yang berlarutan tiga jam tujuh minit itu.
Katanya: “Pil sudah ditelan, krim memanaskan otot sudah disapu.. ia memberi sedikit kesan tapi selepas itu sakit kembali lagi. Betul-betul seperti roller coaster.”
“Ia memerlukan lebih banyak tenaga digunakan untuk kekuatan mental dan fizikal, menjadikan saya tidak betul-betul bersedia dari segi fizikal untuk menghadapi lawan. Tetapi itulah yang terjadi… sejenis halangan yang perlu diterima. Saya sebenarnya bersyukur kerana dapat bermanin seperti di awal kejohanan. Saya masih di sini dan bertahan.”
Djokovic menyertai kejohanan itu dengan kecederaan hamstring kiri yang dialami ketika menjulang kejuaraan di Kejohanan Antarabangsa Adelaide, awal bulan ini.
Pemain berusia 35 tahun itu dijangka merampas semula ranking nombor satu dunia jika meraih kejuaraan Grand Slam ke-22 di Melbourne.
“Pada perlawanan ini, saya rasa saya bermula dengan baik, sebelum mula rasa tidak selesa pada kaki. Saya bertuah dapat mencapai kemenangan dalam perlawanan besar lebih tiga jam untuk bermain tiga set,” kata Djokovic lagi.