Foto: PERAK FC

KETUA Jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim berkongsi falsafah yang akan diserap dalam pasukan selepas ini.

Menurut jurulatih baharu Bos Gaurus ini, dia ingin bermain dengan permainan intensiti tinggi, banyak larian dengan bola, tanpa bola dan sentiasa mara ke depan.

“Ini adalah falsafah yang saya akan bawa. Fans yang datang nanti mereka akan gembira dan tertarik dengan permainan intensiti tinggi.

“Mengenai cabaran dalam melaksanakan ia terpulang kepada kebijaksanaan pemain-pemain. Saya kalau boleh esok nak lihat main begitu.

“Terpulang kepada individu untuk memahami falsafah itu,” jelasnya Ketika program secara langsung Sembang Akhir Musim di Facebook rasmi kelab Selasa malam.

Dalam pada itu, Teong Kim turut menjawab soalan daripada hos Hafiz Abe Desaifer mengenai pemilihan pemain tempatan ataupun pertambahan pemain import.

“Kalau kamu boleh bawa semua pemain-pemain tempatan, saya akan ambil semua. Tetapi bukan senang nak ambil pemain-pemain tempatan yang baik kerana banyak kekangan yang kita lalui.

“Tetapi dari sekarang saya nak Syafiq Ahmad (yang pada mulanya dia menyebut salah nama iaitu Ahmad Shahrul Azhar),” ujarnya.

Selain itu, Teong Kim turut berkongsi bahawa pemain-pemain Perak mempunyai mentaliti yang baik selepas seminggu bersama pasukan.

“Saya boleh lihat bahawa ramai pemain-pemain muda mempunyai sikap yang baik. Tak ada masalah dengan bola sepak kerana saya boleh mengajar mereka. Itu adalah tugas saya untuk mengajar mereka bermain bola sepak.

“Tidak ada masalah kerana mereka mempunyai mentaliti yang positif,” tambahnya.

Turut bersama dalam program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsuddin, Pengarah Teknikal Perak FC Ahmad Shahrul Azhar serta Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun Perak FC Yusri Che Lah.