PERAK FC menjadi pasukan paling banyak dilayangkan kad merah selepas berakhir tiga perlawanan Liga Super dan satu perlawanan Piala FA dan perkara ini jelas meresahkan Ketua Jurulatih, Datuk Lim Teong Kim.

Pada aksi pembukaan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC, dua pemain Perak dilayangkan kad merah manakala seorang lagi ditunjukkan jalan keluar oleh pengadil ketika bertemu Sri Pahang FC pada aksi Pusingan Pertama Piala FA di Stadium Perak, Ipoh pada Rabu.

Teong Kim yang ditemui selepas perlawanan berkata dia tidak akan sewenang-wenangnya mendenda pemain yang dikenakan kad merah sebaliknya akan menilai kepada punca kad merah itu dilayangkan sebelum mengambil tindakan.

“Saya tidak boleh lakukan apa-apa jika pemain kena kad merah. Salah pemain kerana menggunakan tangan. Tindakan denda kepada pemain kerana kena kad merah berdasarkan situasi. Jika mereka halang percubaan tak apa tapi jika bertumbuk perlu ambil tindakan.

“Namun apa yang positif adalah meskipun bermain dengan 10 pemain, mereka mempamerkan aksi yang baik dengan banyak mencipta peluang tetapi gagal menyudahkannya.

“Saya kecewa dengan keputusan ini kerana saya harapkan lebih dari pemain dan kurang gembira dengan aksi beberapa pemain dan mereka tahu siapa yang saya maksudkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Teong Kim juga merasakan sedikit terganggu dengan beberapa kecederaan yang dialami para pemain tetapi dari sudut positif, dia melihat ini adalah peluang buat pemain untuk membuktikan kemampuan mereka untuk kekal dalam skuad musim ini.

“Kecederaan pemain ada menggangu tetapi perlawanan ini beri peluang kepada pemain lain buktikan kemampuan sama ada mereka layak berada dalam pasukan ini dan juga beri saya peluang untuk memilih lebih banyak pemain dalam skuad ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala FA 2023: Skuad Teong Kim tersingkir di saat akhir

“Pemain tunjukkan keberanian apabila bermain di laman sendiri tetapi bukan semua. Kita perlu perbaiki keadaan ini. Banyak beza cara bermain berbanding perlawanan sebelum ini dan pemain bermain bersungguh-sungguh dan ini adalah perkara baik untuk pasukan ini,” tambahnya.

Dengan tersingkirnya Perak dari saingan Piala FA, Teong Kim kini akan menumpukan perhatian untuk saingan Liga Super dan percaya para pemain mudanya mampu bangkit dari kekecewaan ini dan keputusan positif akan hadir tepat pada waktunya.

Perak akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi aksi Liga Super seterusnya menentang Kuching City di laman sendiri dan pastinya mereka mahukan kemenangan pertama musim ini selepas hanya mencatat dua seri dan satu kekalahan dari tiga perlawanan pertama liga.