DUA beregu muda negara, tiada masalah melangkah ke pusingan kedua badminton Terbuka Australia, sekali gus memburu mata maksimum untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Chong Hong Jian-Muhamad Haikal Nazri yang diletakkan sebagai pilihan ketiga pada kejohanan bertaraf Super 500 itu, mudah mengatasi pemain tuan rumah, Jordan Yang-Frederick Zhao 21-9, 21-11 dalam tempoh 25 minit.

Sementara Wan Arif Junaidi-Yap Roy King yang diletakkan selaku pilihan keempat pula hanya mengambil masa 20 minit untuk menyingkir cabaran tuan rumah, Chin Hin Lam-Fu Zi Qiang 21-8, 21-7.

Kedua-dua pasangan ini dijangka tiada masalah untuk melangkah ke separuh akhir, namun dijangka berdepan lawan sukar di peringkat empat terbaik itu.

 

Jika tiada masalah, Hon Jian-Haikal bakal bertemu pilihan utama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di separuh akhir, manakala Arif-Roy King pula bakal berdepan pemain berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Gandingan nombor 1 remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai turut menyertai Terbuka Australia, diletakkan sebagai pilihan ketujuh dan diundi berdepan Brendan Wang-Jordan Wang (Australia) di pusingan pertama.

Hon Jian-Haikal yang mara ke suku akhir Terbuka Thailand memburu penamat yang baik selepas kecundang di pusingan kedua Masters Malaysia dan pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Manakala Arif-Roy King pula tentunya mahu meneruskan rentak cemerlang selepas muncul naib juara Masters Sepanyol, suku akhir Terbuka Thailand dan separuh akhir Masters Malaysia.