HASRAT melihat ada wakil negara menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Australia tidak kesampaian, apabila satu-satunya wakil, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas di final pada Ahad.
Berdepan cabaran gandingan pilihan kelapan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, pemain profesional negara itu ternyata berdepan kesukaran.
Tunduk set pertama 16-21, Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking ketiga Jelajah Dunia cuba melawan sebelum tewas 20-22 di set kedua.
Untuk rekod, Terbuka Australia adalah antara kejohanan badminton yang paling kurang dimenangi pemain negara.
Kali terakhir pemain beregu lelaki Malaysia menjuarai Terbuka Australia adalah pada tahun 2009 menerusi gandingan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.
Manakala pemain perseorangan lelaki yang kali terakhir berjaya melakukannya adalah Lee Tsuen Seng pada 2008.