NG Tze Yong terus melakar kejutan lagi apabila menyingkir pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie di pusingan kedua Terbuka Australia.
Reputasi Jonatan yang masih segar dengan status naib juara Terbuka Jepun, minggu lalu tidak menggentarkan Tze Yong yang beraksi cemerlang melakar kemenangan 22-20, 21-15 sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Kemenangan itu juga menyaksikan pemain ranking ke-21 dunia itu mengakhiri badi kekalahan di tangan Jonatan selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.
Menanti Tze Yong di suku akhir, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang mengatasi Mithun Manjunath dari India dalam pertarungan tiga set.
Zii Jia melakar kemenangan 21-13, 12-21, 21-19 untuk lolos ke suku akhir.
Untuk rekod, ini adalah kali kelima Tze yong mara ke suku akhir musim ini selepas Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand dan Terbuka Korea.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang terkandas di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-18, 17-21, 19-21.
Skrip sama turut dialami dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang tewas ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua.
Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 16-21, 21-17, 19-21 manakala Soon Huat-Shevon tunduk kepada Hiroki Midori-Natsu Saito 17-21, 21-18, 17-21.