SENGIT dan mendebarkan, namun pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya membuktikan dirinya masih pemain nombor satu di Malaysia selepas menyingkir Ng Tze Yong di suku akhir Terbuka Australia.

Zii Jia yang berada diranking ke-17 dunia menewaskan ‘juniornya’ itu dengan kemenangan 17-21, 26-24, 21-19 dalam tempoh 1 jam 23 minit untuk meloloskan diri ke separuh akhir ketiganya musim ini, selepas melakukannya di Terbuka Switzerland dan Seluruh England pada Mac lalu.

Pertembungan antara Zii Jia dan pemain ranking ke-21 dunia itu juga adalah yang pertama buat mereka.

Selepas ini Zii Jia dijadual bertemu pemain China, Weng Hong Yang di pentas separuh akhir.

Ng Tze Yong perlu belajar mengawal debaran untuk memenangi perlawanan.

Aksi separuh akhir nanti bakal menjadi pertembungan ketiga antara Zii Jia dan Hong Yang dengan pertemuan terbaru di Terbuka Singapura, Jun lalu menyaksikan pemain China itu mengalahkan Zii Jia di pusingan pertama.

Jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Tey Seu Bock berkata, kedua-dua pemain seharusnya diberi pujian kerana mempamerkan perlawanan menarik.

“Apa yang membezakan kedua-dua pemain adalah Zii Jia mempunyai pengalaman dan lebih berani untuk mendapatkan mata-mata penting.

“Kami akan terus meningkatkan aspek yang boleh diperbaiki dalam permainan Tze Yong,” kata Seu Bock.