Foto: IG Aina Amani

NOOR Aina Amani Ampandi (gambar) mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menyingkir pemain Hong Kong, Fung Ching Hei 11-5, 11-6, 9-11, 11-3 dalam masa 35 minit di pusingan suku akhir Terbuka Bega , Australia pada Jumaat.

Aina yang juga pemain ranking ke-93 dunia itu bakal berdepan rakan senegara, Yee Xin Ying, yang berada di ranking ke-88 dunia, selepas pemain itu mengatasi pilihan kedua dari England yang berada di ranking ke-52 dunia.

Manakala Xin Ying menang ke atas Grace 9-11, 13-11, 11-9, 11-4 dalam masa 37 minit.

Satu lagi pertemuan separuh akhir, esok bakal menyaksikan seorang lagi pemain negara, Chan Yiwen dengan pilihan utama dari Hong Kong, Chan Sin Yuk.

Pada perlawanan suku akhir hari ini, Yiwen mengatasi Jessica Turnbill dari Australia 11-7, 9-11, 11-9, 12-10, manakala Sin Yuk mengatasi rakan senegaranya Cheng Nga Ching 11-4, 11-6, 11-7 dalam masa 23 minit.

Tugas berat menanti Yiwen yang berada di ranking ke-73 dunia, kerana Sin Yuk yang berada di ranking ke-36 dunia pasti mahu memastikan tiket final menjadi miliknya sekali gus menjuarai kejohanan.

Yiwen bakal berdepan dengan Sin Yuk pada aksi separuh akhir. Foto: Twitter 

Berdasarkan rekod, kedua-dua pemain belum pernah bertemu di pentas antarabangsa.

Sementara itu, pemain lelaki negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal bakal berdepan Tsz Kwan Lau dari Hong Kong di separuh akhir esok (Sabtu)

Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu, menundukkan rakan senegara, Darren Rahul Pragasm dalam pertarungan lima set, 11-13, 11-7, 8-11, 11-7, 11-4 dalam masa 79 minit.

Manakala, Kwan Lau mengatasi rakan senegaranya, Chi Him Wong 11-7, 11-5, 11-4 dalam masa 32 minit, sebentar tadi.

Satu lagi pertemuan separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan antara Rex Hedrick dari Australia dengan pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue.

Hedrick mengetepikan cabaran pilihan utama kejohanan dari Pakistan, Muhammad Asim Khan dengan kemenangan 5-11, 11-5, 11-4, 12-10 dalam masa 51 minit, manakala Tsukue menyingkir pilihan keempat kejohanan dari negara kita, Addeen Idrakie, 13-11, 10-12, 11-8, 11-8 dalam masa 74 minit.

Terbuka Bega menawarkan hadiah kemenangan AS$12,000.