YEE Xin Ying muncul wakil tunggal negara beraksi di kejohanan skuasy Terbuka Bega, Australia selepas mengatasi rakan senegara Noor Aina Amani Ampandi dalam pertarungan sengit lima set.
Menang dua set pertama 11-7, 11-5, prestasi pemain ranking ke-88 dunia itu tiba-tiba merundum apabila tunduk 9-11 dan 0-11 kepada Ainaa yang berada di ranking ke-93 dunia.
Begitupun, Xin Ying bangkit dalam set penentuan sebelum menang 12-10, sekali gus mara ke final, menempah pertemuan dengan pilihan utama kejohanan Chan Sin Yuk dari Hong Kong.
Terdahulu, Sin Yuk yang berada di ranking ke-36 dunia mengetepikan cabaran seorang lagi wakil negara, Chan Yiwen.
Sin Yuk tidak berdepan banyak masalah apabila mencapai kemenangan 11-5, 9-11, 11-6 dan 11-6, dalam masa 34 minit.
Sementara itu, hasrat melihat seorang lagi pemain negara beraksi di pentas final tidak kesampaian apabila Mohammad Syafiq Mohd Kamal tidak mampu melawan kehebatan pemain Hong Kong, Tsz Kwan Lau.
Kwan Lau yang berada di ranking ke-63 dunia menang mudah 11-7, 11-6, 11-9 dalam masa 33 minit, untuk menempah pertemuan dengan Rex Hedrick dari England.
Hedrick meneruskan kecemerlangannya dalam kejohanan ini apabila mengatasi pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue 11-7, 4-11, 11-6, 11-9 dalam masa 63 minit.