CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka tiada masalah untuk mengatasi pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeung Na Eun di pusingan kedua Terbuka China pada Khamis.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto optimis anak didiknya berada di tahap prestasi terbaik selepas gandingan di ranking ke-11 dunia itu, menundukkan pasangan India, Rohan Kapoor-N Sikki Reddy 21-15, 21-16 pada pusingan pertama di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Won Ho-Na Eun pula mara selepas mengetepikan cabaran pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 21-17, 21-19.

Nova berkata, berdasarkan rekod pertemuan terakhir antara Tang Jie-Ee Wei dengan lawan dari Korea itu, dia percaya kelebihan memihak kepada anak didiknya.

Kedua-dua pasangan masing-masing mencatat satu kemenangan dalam dua pertemuan mereka sebelum ini dengan kali terakhir dimenangi Tang Jie-Ee Wei di Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), April lalu.

“Berdasarkan prestasi dalam perlawanan hari ini (menentang Rohan-Sikki Reddy), masih belum berada pada tahap terbaik. Tang Jie-Ee Wei perlu mengurangkan kesilapan apabila beraksi dalam perlawanan seterusnya.

“Pertemuan terakhir mereka dengan pasangan Korea itu (Won Ho-Na Eun) mereka menang dan saya percaya ia memberi keyakinan kepada mereka,” kata Nova.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei apabila tersingkir di pusingan pertama.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Jepun, Aya Ohari 18-21, 12-21.