PERSEORANGAN lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan apabila menyingkir pemain nombor 6 dunia dari India, HS Prannoy, di pusingan pertama Terbuka China.
Begitupun tidak mudah buat Tze Yong yang berada di ranking ke-22 dunia, apabila diberi saingan sengit dalam pertarungan tiga set sebelum mencatat kemenangan 21-12, 13-21, 21-18 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Kemenangan tunggal dicapai Tze Yong pada pertemuan kali pertama dua pemain terbabit, memberikan keyakinan buat pemain kelahiran Johor itu untuk mara lebih jauh di Changzhou.
Selepas mengetepikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia Copenhagen 2023 itu , Tze Yong akan berdepan cabaran Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia.
Shesar mara selepas menewaskan lawan dari India, Priyanshu Rajawat 21-13, 26-24 dalam tempoh 41 minit.
Berdasarkan rekod pertemuan tunggal, Tze Yong menewaskan Shesar pada aksi di Seluruh England, Mac lalu menerusi kemenangan straight set, 21-9, 21-12.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan sepelatih, Goh Soon Huat-Shevon Lai 25-23, 21-15.
Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang membuat kejutan menewaskan beregu ketujuh dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-16, 12-21, 21-16.
Gandingan wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula melangkah ke pusingan seterusnya dengan menewaskan pemain Belanda, Debora Jille-Cheryl Seinen 17-21, 21-17, 21-10.
Terbuka China kembali diadakan tahun ini selepas ditangguh akibat pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.