BAHANG Olimpik semakin dirasai, menyebabkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melupakan soal penat dan tetap bersemangat meskipun perlu mengharungi empat kejohanan berturut-turut.

Semalam, pasangan nombor empat dunia itu berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas menewaskan gandingan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-16, 21-18 pada pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Arena Jyske Bank di Odense.

Terbuka Denmark menjadi kejohanan keempat berturut-turut buat Aaron-Wooi Yik selepas saingan berpasukan dan individu Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Malah, mengikut perancangan, gandingan utama negara itu akan mengharungi kejohanan kelima berturut-turut minggu hadapan apabila dijadual mengambil bahagian di Terbuka Perancis.

Aaron-Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou lalu.

Pada Terbuka Arctic minggu lalu, mereka tersingkir di pusingan pertama selepas tunduk di tangan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang muncul naib juara di kejohanan berkenaan.

Menurut Aaron, kekalahan di tangan Wei Chong-Kai Wun tidak ada kaitan dengan keletihan.

“Mungkin di Finland itu, kami bermain menentang rakan sepasukan dan ia bukan sesuatu yang mudah. Kami sudah berikan yang terbaik namun Wei Chong-Kai Wun bermain lebih baik pada hari itu,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi menentang Christo-Toma, semalam.

Selepas tersingkir awal di Finland, tempoh masa yang ada digunakan sebaiknya oleh Aaron-Wooi Yik untuk memulihkan semula tenaga mereka bagi mengharungi saingan Terbuka Denmark.

“Setiap kejohanan, kami bermula dari kosong semula. Saya fikir ini adalah kali pertama kami akan bermain lima kejohanan berturut-turut, memang perlu buat persiapan terbaik dan menjaga tubuh badan kami.

“Walaupun masih dalam kejohanan, kami tetap meneruskan latihan fizikal di gimnasium,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik dijadual menentang pasangan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan bagi perebutan tiket ke suku akhir Terbuka Denmark, esok.