KURANG keyakinan ketika berada pada mata penting, memaksa gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa melepaskan peluang terbaik meraih gelaran Terbuka Hong Kong kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti.

Pada final, Pearly-Thinaah memenangi set pertama 21-14, pasangan negara mendahului 13-9 pada set kedua, namun gagal mengekalkan jarak mata sehingga membenarkan lawan mengejar 13-13 sebelum tunduk 22-24.

Gara-gara tergelincir pada mata 14-13 di set kedua, Pearly bermain di set ketiga dalam keadaan kesakitan sebelum mereka akur tewas 9-21.

Pearly mahu kembali bangkit pada kejohanan seterusnya, tanpa kecederaan.

“Tentunya saya sedih tapi apabila difikirkan dari sudut positif, kami beroleh keyakinan cuma pada mata-mata penting, keyakinan berkurang. Kami perlu balik dan kembali tanpa dibelenggu kecederaan,” kata Pearly, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Thinaah mengakui gandingan Indonesia beraksi cemerlang pada final terbabit.

“Mereka tidak melakukan kesilapan mudah pada mata-mata penting, sebaliknya sabar dan agresif.

“Cukuplah, kami tidak mahu memikirkan sudut negatif lagi selepas berjaya sampai ke tahap ini.

“Apa kami mahukan adalah nak bangkit dengan lebih baik,” kata Thinaah.