TATKALA satu demi satu pemain negara rebah, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengekalkan bendera Malaysia kekal bersaing dalam acara beregu lelaki di Terbuka Hong Kong pada Khamis.

Pemain nombor 40 dunia itu mara ke suku akhir selepas menang 21-13, 21-15 menentang gandingan nombor 20 dunia Taiwan, Lee Jhe Huei- Yang Po Hsuan.

Izzuddin-Sze Fei akan berpeluang mempamerkan bakat mereka sekali lagi kerana selepas ini akan menentang penyandang juara Olimpik, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Dalam beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah terlalu handal untuk diatasi rakan senegara Malaysia, Anna Cheong-Teoh Mei Xing, meraih kemenangan 21-7, 21-10.

Pearly-Thinaah berdepan cabaran lebih sukar seterusnya menentang Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand.

Pun begitu, pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia tersungkur kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung awal sebelah petang.

Walaupun menang pada set pertama, 19-21, Zii Jia gagal meneruskan momentum di set kedua (21-17) sebelum tewas di set penentuan 22-20.

Sementara itu, hasrat seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao untuk meneruskan kemaraan tidak kesampaian apabila turut tewas di pusingan kedua.

Leong Jun Hao tidak dapat meneruskan rentak itu apabila terpaksa akur tewas di tangan pemain pilihan nombor dua kejohanan dari Indonesia, Sinisuka Ginting 21-14 21-11