BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan momentum yang baik menjelang Sukan Asia Hangzhou, apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Kebangkitan luar biasa dari pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu pada set ketiga, membolehkan mereka mengatasi beregu Thailand, Rawinda Prajongjai-Jongkolphan Kittitharakul pada aksi suku akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.

Tampil selaku pilihan keenam kejohanan, Pearly-Thinaah ketinggalan 15-18 di set penentuan sebelum bangkit untuk melakar kemenangan 15-21, 21-14, 21-19 ke atas pilihan keempat berkenaan.

Pearly-Thinaah pastinya mahukan bekalan moral ke Sukan Asia dan ia perlu ditonjolkan pada separuh akhir Terbuka Hong Kong, esok.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan dari Thailand itu, selepas menang semua empat pertemuan sebelum ini.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama mereka berjaya mara ke separuh akhir sejak muncul naib juara Masters Malaysia pada Jun lalu.

“Sudah tentu kami berasa lega selepas mendahului di set ketiga terutama selepas 11 mata. Namun, kami sering mengingatkan antara satu sama lain tentang apa yang perlu dilakukan dan fokus terhadap strategi permainan kami.

“Saya fikir itu adalah faktor utama kami berjaya memenangi perlawanan,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Gembira dengan kejayaan melangkah ke separuh akhir namun Pearly sedar dia dan Thinaah, “Prestasi kami semakin baik tetapi perlu lebih konsiten. Selepas mengalami kecederaan dan masalah kesihatan sebelum ini, saya hanya fikir mahu menikmati perlawanan setiap kali saya masuk ke gelanggang.

“Buat masa sekarang saya menikmati setiap peluang yang ada apabila turun ke gelanggang,” katanya.

Gandingan ranking ke-11 dunia, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dari Thailand, menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Pearly-Thinaah akan bertemu satu lagi pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard bagi perebutan tiket ke final.

Benyapa-Nuntakarn mara ke separuh akhir, selepas mengejutkan pilihan utama dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakanan Nagahara dengan kemenangan 17-21, 25-23, 21-14.

Kedua-dua pasangan itu hanya sekali bertemu sebelum ini iaitu pada Terbuka Thailand 2021 yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Pearly-Thinaah.

Sementara itu, perjuangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berakhir di suku akhir selepas tewas di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang Wang Chi Lin.

Izzuddin-Sze Fei bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 18-21 dalam tempoh 45 minit.