KEJAYAAN menewaskan pemain yang berada di kelompok terbaik sangatlah jarang berlaku bagi ratu perseorangan badminton India, Saina Nehwal sejak kebelakangan ini.

Setelah berjaya menundukkan Mia Blichfeldt dari Denmark dalam pertembungan sengit kedua-dua pemain, Saina menjerit kepuasan kerana sudah lama inginkan kemenangan di hadapan ribuan penyokong yang menyaksikan persembahannya.

Setelah tewas berturut-turut sebanyak lima kali di pusingan pertama, Nehwal berjaya mencatat kemenangan pertama sejak menewaskan lawan sama taraf dengannya, He Bing Jiao pada Terbuka Singapura lalu.

Senyumannya membuktikan bahawa dia berasa puas setelah lama bergelut untuk melepasi pusingan pertama dalam kejohanan sebelum ini.

 

“Dengan sokongan padu penonton, saya merasakan, merekalah yang membantu saya lebih bersemangat di atas gelanggang. Kadangkala otak saya berhenti berfungsi setelah tewas di pusingan awal sebelum ini, tetapi saya selalu memberitahu diri saya untuk sasarkan 21 mata dan kemenangan milik anda,” jelasnya.

Dalam aksi ketiga, Saina ketinggalan 14-17 sebelum bangkit meraih kemenangan mata demi mata dan menang set penentuan sekaligus melayakkan diri ke pusingan kedua.

Aksi mendebarkan tersebut berlangsung sehingga rubber set namun Saina lebih tenang apabila mengungguli saingan tersebut dengan kemenangan 21-17 12-21 21-19.