SETELAH Pearly Tan-M.Thinaah membawa khabar ceria dalam kem badminton kebangsaan apabila mara ke pusingan suku akhir Terbuka India, dua lagi beregu negara turut membuktikan kejaguhannya apabila masing-masing cemerlang lolos ke pusingan suku akhir.
Gandingan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa berhempas pulas sebelum berjaya melakar kemenangan ke atas pasangan ranking ke-38 dunia dari Chinese Taipei, Le Jhe Huei-Yang Po Hsuan dalam pertarungan rubber set 15-21 21- 19 21-19.
Rentak cemerlang tersebut diteruskan gandingan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yie yang turut mara ke suku akhir meskipun menerima tentangan sengit daripada gandingan Supak Jomkoh-K Kedren dengan keputusan 21-16 13-21 21-19.
Bagaimanapun, skrip berbeza dipersembahkan dua lagi wakil negara iaitu gandingan baharu beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta juara Seluruh England, Lee Zii Jia apabila gagal melepasi halangan lawan masing-masing.
Gandingan beregu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan serangan bertali arus namun terpaksa akur dengan gandingan ranking no.2 dunia dari China yang menggunakan pengalamannya untuk menjinakkan gandingan negara dengan keputusan 23-21 21-12.
Bagai dejavoo, harapan wira negara, Lee Zii Jia turut terkena tempias tersebut apabila dimalukan perseorangan ranking ke-20 dunia dari China, Li Shi Feng dengan keputusan 21-11 14-21 21-18.
Dengan keputusan tersebut, hanya tiga wakil negara lolos ke peringkat suku akhir dengan Pearly Tan- Thinaah Muralitharan dijadualkan membuat perhitungan dengan gandingan Jepun, Rie Iwanaga-Kie Nakanishi.
Manakala, aksi beregu lelaki bakal menyaksikan pertembungan sesama sendiri apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu Ong Yew Sin-Teo Ee Yie di peringkat suku akhir hari ini.