DUA gandingan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah kembali bangkit selepas aksi mengecewakan di Terbuka Malaysia minggu lalu apabila berjaya layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka India.
Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan tidak berdepan masalah untuk menumpaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-17, 21-11 dalam tempoh 31 minit.
Kemenangan ini meletakkan Aaron-Wooi Yik di landasan terbaik untuk merangkul gelaran pertama tahun ini namun perlu berhadapan sama ada pasangan nombor satu dunia dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.
RESULTS: #IndiaOpen2023
QF#MAS🇲🇾 Aaron Chia-Soh Wooi Yik(3) def. #MAS🇲🇾 Ong Yew Sin-Teo Ee Yi(7) 21-17 21-11
📷 @badmintonphoto
#GemilangkanLagi #DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/XVZ3b74Zf6— BAM (@BA_Malaysia) January 20, 2023
Minggu lalu di Terbuka Malaysia Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23 yang mengecewakan seluruh peminat badminton tanah air.
Sementara itu, beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah juga berjaya mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan ‘straight set’ ke atas pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-13, 21-13 dalam masa 44 minit di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi.
Menanti mereka di separuh akhir ialah pemenang di antara pasangan adik-beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard atau gandingan Jepun di ranking kedua dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Seperti juga Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas di tangan gandingan adik-beradik Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.