BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei belum mampu menghadirkan impak di Terbuka India, apabila mengulangi pencapaian tahun lalu, tersingkir di pusingan kedua.
Berdepan Dechapol Puavaranukroh-Samsiree Taerattanachai dari Thailand, gandingan negara yang berada di ranking kesembilan dunia, belum masih ketinggalan di belakang pasangan yang berada dua ranking di atas mereka itu, apabila tunduk 19-21, 16-21 dalam tempoh 51 minit.
Bagaikan segala-galanya tidak menjadi, Tang jie-Ee Wei ketinggalan 3-11 pada set pertama sebelum menyamakan kedudukan 12-12 dan kembali kehilangan fokus membolehkan lawan memenangi perlawanan.
“Sebenarnya untuk perlawanan hari ini, kami tidak fikir banyak hanya fokus kepada permainan dalam gelanggang tapi akhirnya tetap tewas.
“Apapun saya rasa, ada sesuatu yang kami pelajari dalam perlawanan ini,” kata Ee Wei, selepas tewas.
Sementara itu, Tan Jie berkata, perkara yang mereka pelajari terutamanya, “Konsistensi ketika mengembalikan bulu tangkis, bahagian ini kami belum dapat tandingi mereka (pemain Thailand) dan perlu berlatih lagi.”
Selepas dua kejohanan musim ini, Tang Jie-Ee Wei setakat ini, hanya mampu melangkah ke pusingan kedua di Terbuka Malaysia dan India.
“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini, tetapi kami perlu ingat bahawa inilah kejohanan, kalah dan menang menjadi sebahagian kehidupan atlet.
“Jadi kami perlu cepat memperbaiki dan bersedia untuk kejohanan seterusnya,” kata Tang Jie lagi.
Gandingan utama negara ini, perlu mempersiapkan diri untuk Masters Thailand yang akan berlangsung 30 Januari hingga 4 Februari ini.