PERSEORANGAN lelaki nombor dua negara, Ng Tze Yong terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Indonesia 2023, apabila dijinakkan pemain China, Shi Yu Qi.

Pemain negara itu, bagai dipukau di set pertama apabila sekadar memungut  7-21.

Bagaimanapun, dia bangkit dengan permainan lebih bertenaga, dan berjaya mengejutkan Yu Qi dengan kemenangan 21-17 di set kedua, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Ketika peminat menyangka Tze Yong sudah mendapat momentum untuk mengatasi Yi Qi,  jangkaan itu meleset apabila pemain berusia 23 tahun itu gagal mengekalkan momentum yang sama.

Sebaliknya, Yu Qi mendahului dari awal permainan.

Pada satu ketika, Yu Qi mendahului 18-6 namun Tze Yong cuba bangkit dan berjaya mengunci pemain China itu dan meraih enam lagi mata, menjadikan kedudukan 18-12, sebelum Yu Qi mengorak langkah menamatkan permainan 21-13.

Di Singapura minggu lalu, pemain negara itu tersingkir di pusingan kedua.