PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas mengharungi pertarungan sengit di pusingan kedua menentang Weng Hong Yang dari China malam ini.

Di aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Zii Jia, yang kini menduduki tangga ketujuh dalam ranking dunia, diberikan tentangan hebat sebelum terpaksa akur tewas 20-22 pada set pertama.

Namun, Zii Jia membuktikan kehebatannya apabila bangkit dengan bergaya, membenam lawan yang menghuni ranking ke-19 dunia 21-9 di set kedua, sebelum mencatat kemenangan 21-16 di set penentuan, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Menanti Zii Jia di pusingan lapan terbaik esok adalah juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, yang melangkah ke suku akhir dengan cemerlang selepas menumpaskan pemain India, Priyanshu Rajawat 21-10, 21-17.

Kali terakhir Zii Jia bertemu dengan Kunlavut adalah pada pusingan ketiga temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu, di mana pemain negara berusia 26 tahun itu menang 10-21, 21-19, 21-6.