BEREGU wanita utama negara masih tercari-cari rentak dan prestasi sebenar mereka di Terbuka Indonesia, yang menjadi kejohanan terakhir sebelum misi memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris bermula.

Mara ke pusingan kedua  kejohanan bertaraf Super 1,000 itu diakui, membuka ruang buat mereka berdua memperbaiki kesilapan yang masih dilakukan ketika mengatasi gandingan Chinese Taipei, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui di pusingan pertama, pada Selasa.

“Kami tahu pada perlawanan inni, banyak kesilapan kami lakukan tetapi ini menjadi suatu yang perlu kami atasi dan cuba dapatkan semula rentak dan gaya permainan kami pada pusingan seterusnya,” kata Thinaah, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus selepas mengatasi Shuo Yun-Chien Hui 21-19, 22-20.

Biarpun sudah biasa beraksi di Istora Senayan, pasangan negara yang menghuni tangga ke-13 dunia itu tetap perlu membiasakan diri dengan suasana dalam gelanggang.

Thinaah dan Pearly mengakui masih banyak kesilapan dilakukan namun akan diperbaiki pada pusingan kedua Terbuka Indonesia.

“Ya kami tahu sudah kerap bermain di sini tetapi setiap tahun ada perbezaannya dan kami tetap perlu suaikan diri dengan pergerakan angin yang berbeza dan agak kuat,” kata Pearly.

Di pusingan kedua nanti, mereka menanti pemenang perlawnaan antara pilihan kelapan yang juga pemain tuan rumah, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti atau wakil Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Pencapaian terbaik gandingan negara itu tahun ini, adalah pada Masters Malaysia dua minggu lalu, apabila berjaya mara ke separuh akhir.